Bekas pelumba MotoGP, Andrea Iannone bakal kembali mewarnai paddock MotoGP apabila disahkan menyertai FIM Harley-Davidson Bagger World Cup bersama pasukan Niti Racing bermula pusingan Mugello.
Pelumba yang terkenal dengan gelaran “The Maniac” itu akan memperkuatkan pasukan Niti Racing yang kini menampilkan tiga pelumba iaitu Iannone, Oscar Gutiérrez dan Dimas Ekky Pratama.
Iannone sebelum ini pernah mencipta kemenangan dalam MotoGP dan WorldSBK, sekali gus membawa pengalaman luas serta reputasi sebagai pelumba agresif dan berani mengambil risiko di litar. Kehadirannya dijangka terus memberikan saingan sengit di kelompok hadapan.
Pelumba Itali itu dijadual membuat penampilan sulung menggunakan jentera Harley-Davidson perlumbaan pada Grand Prix Itali di Mugello dari 29 hingga 31 Mei, sebelum meneruskan baki musim hingga pusingan penutup di Austria.
Menurut Iannone, beliau tertarik dengan cabaran baharu yang ditawarkan kategori tersebut kerana ia jauh berbeza daripada pengalaman perlumbaannya sebelum ini.
“Saya sukakan cabaran, terutama sesuatu yang membawa saya keluar daripada zon selesa. Ini sesuatu yang sangat berbeza dan sebab itu saya menerimanya.
“Saya sentiasa mengagumi Harley-Davidson serta komuniti penunggangnya yang sangat ikonik. Kategori ini penuh dengan adrenalin, hiburan dan semangat sebenar terhadap dunia motosikal serta gaya hidup.
“Motosikal ini mempunyai karakter yang kuat. Anda perlu menghormatinya tetapi pada masa sama boleh menunggangnya dengan agresif. Dalam aspek itu, saya rasa kami agak serupa dan sebab itulah projek ini sesuai untuk saya,” katanya.
Iannone turut mengakui dia hadir ke Mugello tanpa sebarang sesi ujian bersama motosikal tersebut, namun percaya cabaran itu mampu membantunya berkembang sebagai pelumba.
“Saya akan memulakan perlumbaan pertama tanpa sebarang ujian dan kurang satu sesi berbanding pelumba lain. Itu memang mentaliti saya, saya suka mencari cabaran.
“Mugello adalah tempat terbaik untuk bermula di hadapan penyokong Itali dan di litar yang saya cukup kenal. Saya bukan datang sekadar untuk mengambil bahagian, saya mahu cepat memahami motosikal ini dan terus kompetitif,” jelasnya lagi.
Dalam masa sama, Iannone turut menyatakan hubungan istimewanya dengan Indonesia memandangkan Niti Racing merupakan pasukan yang diasaskan di Indonesia.
“Saya sangat menghargai rakyat Indonesia dan teruja untuk memulakan perjalanan ini bersama Niti Racing dan komuniti mereka,” katanya.
Pengurus pasukan Niti Racing, Angela Khuu menyifatkan kemasukan Iannone sebagai langkah penting untuk mengukuhkan lagi prestasi pasukan selepas permulaan musim yang positif.
“Kami sudah mempunyai asas kukuh bersama Oscar dan Dimas. Kehadiran Andrea memberi dimensi tambahan kepada pasukan menerusi pengalaman dan kepantasannya,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Program Perlumbaan Global Harley-Davidson, Jeffrey Schuessler percaya penyertaan Iannone membuktikan kejuaraan tersebut semakin mendapat perhatian pelumba berprofil tinggi.
Niti Racing merupakan pasukan perlumbaan profesional dari Indonesia yang diasaskan oleh Rafael Nitiyudo dengan misi membawa bakat tempatan ke pentas antarabangsa. Dalam tempoh singkat, pasukan ini berjaya mencuri perhatian menerusi penyertaan konsisten dalam pelbagai kejohanan dunia sambil memperkukuhkan nama Indonesia dalam arena sukan permotoran global.
Bagi musim 2026, Niti Racing bersaing dalam saingan sulung FIM Harley-Davidson Bagger World Cup yang berlangsung bersama MotoGP, selain turut beraksi dalam World Sportbike Championship. Pasukan itu dibarisi beberapa nama berprofil tinggi termasuk Andrea Iannone, Oscar Gutiérrez dan Dimas Ekky Pratama, sekali gus menjadikan Niti Racing antara pasukan Asia yang semakin mendapat perhatian di pentas antarabangsa.


