Aksi Jumaat: Alex Marquez ungguli sesi latihan, Martin terima penalti grid

Alex Marquez tampil cemerlang apabila mencatat masa terpantas pada hari pertama aksi MotoGP di Grand Prix Sepanyol, sekali gus muncul sebagai pelumba yang perlu diberikan perhatian menjelang sesi kelayakan.

Pelumba BK8 Gresini Racing MotoGP itu mencatatkan masa 1:35.704saat, meninggalkan pencabar terdekat Fabio Di Giannantonio di tempat kedua dengan jurang 0.333 saat, manakala pendahulu kejuaraan Marco Bezzecchi melengkapkan kelompok tiga terbaik.

Sesi latihan di Grand Prix Sepanyol turut menyaksikan beberapa drama awal, termasuk kejatuhan Francesco Bagnaia di selekoh pertama serta insiden melibatkan Jorge Martin yang terjatuh di selekoh 13.

Dalam pada itu, Alex Marquez terus meningkatkan prestasi dengan dua pusingan terpantas berturut-turut yang hampir memecahkan rekod litar, sekali gus meletakkan dirinya jauh di hadapan pencabar lain menjelang penghujung sesi.

Bagaimanapun, tumpuan turut terarah kepada Martin yang dikenakan penalti tiga petak grid oleh FIM MotoGP Stewards kerana memperlahankan jentera di laluan perlumbaan dan mengganggu Alex Marquez.

Penalti itu akan berkuat kuasa pada perlumbaan utama hari Ahad, walaupun pelumba Aprilia Racing itu masih akan memulakan perlumbaan Tissot Sprint mengikut kedudukan kelayakan sebenar.

Dalam masa sama, beberapa nama besar berdepan cabaran apabila Pedro Acosta dan rakan sepasukannya Brad Binder gagal menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik dan perlu melalui Q1 buat pertama kali musim ini. Sementara itu, Marc Marquez berjaya menyelinap ke kelompok hadapan di saat akhir untuk mengelak berdepan nasib yang sama.

Dengan aksi kelayakan dijadual berlangsung pada pagi Sabtu, semua mata kini tertumpu kepada Alex Marquez sama ada mampu meneruskan momentum cemerlangnya, atau cabaran daripada pelumba lain akan mengubah kedudukan menjelang perlumbaan Tissot Sprint dan aksi utama di Jerez.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related