Pertarungan di barisan hadapan semakin hangat dalam saingan Superbike World Championship apabila Iker Lecuona memberi cabaran sengit kepada rakan sepasukan, Nicolo Bulega dalam Perlumbaan 1 di TT Circuit Assen.
Pasukan Aruba.it Racing – Ducati jelas mendominasi saingan apabila kedua-dua pelumba mereka menguasai perlumbaan, namun tumpuan utama terarah kepada peningkatan ketara dipamerkan Lecuona yang terus memberi tekanan kepada pendahulu kejuaraan itu.
Sorotan perlumbaan
Bermula dari petak utama selepas mencatat masa terpantas serta memecahkan rekod litar, Bulega bagaimanapun dikejutkan apabila Lecuona meraih holeshot di selekoh pertama. Kedua-dua pelumba kemudian saling bertukar kedudukan dalam perlumbaan yang berlangsung dalam keadaan mencabar.
Lecuona berjaya mengekalkan jarak rapat dengan Bulega sepanjang separuh awal perlumbaan, malah kembali mendahului ketika hujan mula turun dan keadaan litar menjadi sukar. Namun, kelebihan itu tidak kekal lama apabila Bulega kembali menguasai perlumbaan di penghujung saingan untuk meraih kemenangan ke-11 berturut-turut.
“Perlumbaan ini lebih sukar daripada yang saya jangkakan, tapi sangat menarik. Bila hujan mula turun, ianya agak susah untuk tentukan had tunggangan. Bila Iker memintas, saya ikut sahaja untuk elak ambil risiko besar. Bila keadaan kering semula, saya tingkatkan rentak dan berjaya mengawal keadaan tayar dengan baik,” kata Bulega.
Walaupun terlepas peluang meraih kemenangan sulung dalam WorldSBK, Lecuona tetap boleh berbangga dengan prestasinya yang semakin konsisten. Selepas hanya mencatat dua podium antara 2022 hingga 2025, pelumba Sepanyol itu kini sudah mengumpul empat podium dalam musim 2026.
“Saya sangat gembira, P2 lagi. Hari Sabtu kali ini hampir sama macam aksi di Portimao. Bila hujan mula turun, ia turun agak lebat dan banyak air dalam satu pusingan. Saya tahu Nicolo juga mempunyai tekanan untuk mengekalkan gelaran juara.
“Dalam masa yang sama saya juga sedang berada di P2, jadi saya pun mengambil kira perkara tersebut untuk memberikan tekanan kepadanya, saya fikir mungkin ini merupakan peluang saya untuk menang perlumbaan. Saya memang suka keadaan mencabar, saya berkata kepada diri saya kenapa tidak ambil risiko?“Saya berjaya kejar banyak masa dan memintas Bulega, tapi tekanan tayar hadapan saya banyak menurun dalam keadaan hujan. Lepas itu dia berjaya memotong saya semula, dan saya buat keputusan untuk fokus kekalkan P2 sebab Sam semakin hampir. Kami perlu belajar dan cari sesuatu untuk esok, tapi pada fasa awal perlumbaan, kami memang sangat kuat,” ujar Lecuona.
Baca juga:


