Pasukan Red Bull KTM meneruskan rentak cemerlang apabila menguasai kedua-dua kelas MXGP dan MX2 pada Grand Prix Sardinia, pusingan keempat musim 2026 yang berlangsung di Riola Sardo.
Dalam kelas MXGP, pelumba Belgium Lucas Coenen muncul juara keseluruhan selepas mencatat kemenangan berganda (1-1), sekali gus menandakan kejayaan keduanya musim ini dengan keputusan sempurna. Pelumba berusia 19 tahun itu kini telah memenangi lima daripada lapan perlumbaan setakat ini dan mendahului kejuaraan dunia dengan kelebihan 14 mata.
“Saya berjaya mencipta jurang dalam perlumbaan kedua, tetapi trek ini agak merbahaya sekiranya saya terlepas pandang ia akan ‘menjerat ’ dengan cepat! Saya terjatuh dan ia benar-benar menghabiskan tenaga saya.
“Namun, saya memaksa diri saya untuk tidak berputus asa , saya cakap pada diri sendiri, ‘Saya tak boleh kalah yang ini…’. dan akhirnya saya berjaya. Saya sangat gembira dengan hasil kami satu pasukan yang sudah bekerja keras bersama-sama. Saya benar-benar gembira dengan kemenangan berganda ini,” ungkap Coenen.
Walaupun berdepan cabaran selepas terjatuh dalam sesi kelayakan, Coenen bangkit dengan prestasi mantap pada hari perlumbaan. Dalam perlumbaan kedua, beliau hampir kehilangan kelebihan selepas terjatuh ketika mendahului, namun berjaya bangkit dan mempertahankan kedudukan untuk melengkapkan kemenangan berganda.
Sementara itu, dalam kelas MX2, Simon Laengenfelder mengesahkan status sebagai pendahulu kejuaraan apabila meraih kemenangan keseluruhan ketiganya musim ini dan kedua berturut-turut. Pelumba Jerman itu menamatkan GP dengan satu kemenangan perlumbaan dan satu tempat kedua.
Rakan sepasukan, Sacha Coenen turut menyerlah apabila menamatkan perlumbaan di tempat kedua keseluruhan. Beliau memenangi perlumbaan pertama dan mencatat holeshot dalam kedua-dua perlumbaan, namun kesilapan awal dalam perlumbaan kedua memaksanya bangkit dari kelompok belakang sebelum menamatkan saingan di tempat kedua.
Prestasi konsisten itu membolehkan Sacha kini menduduki tangga kedua keseluruhan kejuaraan, di belakang Laengenfelder.
Seorang lagi pelumba KTM, Andrea Adamo, menamatkan saingan MXGP di kedudukan ke-11 keseluruhan selepas berdepan kesukaran dalam perlumbaan kedua.
Dalam kategori sokongan, pelumba muda Hungary Aron Katona mencipta kejutan apabila meraih podium pertama dalam kejuaraan EMX250 dengan kedudukan ketiga keseluruhan. KTM turut menguasai kelas EMX125 menerusi kemenangan pelumba Austria Max Ernecker diikuti Emil Ziemer di tempat kedua.
Aksi di Sardinia berlangsung dalam keadaan berangin dengan permukaan trek berpasir yang mencabar, namun ia bukan halangan buat KTM untuk menguasai perlumbaan.
Kejuaraan dunia motocross kini akan diteruskan ke tanah besar Itali bagi Grand Prix Trentino di Pietramurata, Arco di Trento, yang dijangka menawarkan cabaran berbeza dengan permukaan trek lebih padat.


