KTM tawar jaminan premium 4 tahun untuk model 2025

Pengeluar motosikal Austria, KTM mengumumkan peluasan skop KTM PREMIUM MANUFACTURER’S WARRANTY yang kini merangkumi semua motosikal jalan raya (street-legal) bermula model tahun 2025.

Langkah itu menyaksikan jaminan selama empat tahun yang sebelum ini terhad kepada model tertentu, kini diperluaskan kepada keseluruhan rangkaian motosikal jalan raya KTM tanpa mengira kapasiti enjin atau segmen.

Antara segmen yang terlibat termasuk Adventure, Dual Sport, Naked, Supersport, Sports Tourer dan Supermoto. Bagaimanapun, model khas untuk kegunaan litar (track-only) dan perlumbaan tertutup tidak termasuk dalam perlindungan ini.

Menurut KTM, jaminan premium ini direka bagi memberikan ketenangan minda kepada penunggang, membolehkan mereka menikmati pengalaman tunggangan dengan lebih yakin dari segi kebolehpercayaan dan ketahanan jentera.

Menariknya, jaminan ini terikat kepada motosikal dan bukannya pemilik. Ini bermakna perlindungan tersebut kekal sah walaupun motosikal bertukar tangan, selagi semua penyelenggaraan dilakukan mengikut pelan servis rasmi di pusat servis bertauliah KTM.

Bagi mengekalkan perlindungan selama empat tahun penuh, pemilik perlu memastikan semua servis berkala dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan oleh pengeluar.

Dalam masa sama, pelanggan di pasaran Eropah terpilih turut menerima manfaat tambahan menerusi program Service Activated Roadside Assistance (SARA). Program ini menawarkan bantuan tepi jalan yang diperbaharui sehingga 12 bulan setiap kali servis tahunan dilakukan di pusat servis sah KTM.

Memetik dari kenyataan rasmi syarikat KTM, Naib Presiden Perkhidmatan Pelanggan Global KTM, Spela Kovacic berkata, peluasan jaminan ini mencerminkan keyakinan syarikat terhadap kualiti keseluruhan rangkaian motosikal jalan raya mereka.

“Dengan hanya mengikuti pelan servis yang disyorkan, penunggang boleh bergantung kepada perlindungan menyeluruh sekiranya berlaku sebarang isu. Ini adalah bukti komitmen kami dalam memberikan ketenangan minda kepada pelanggan,” katanya.

Tambah beliau, inisiatif tersebut turut menunjukkan usaha berterusan KTM dalam menambah baik perkhidmatan selepas jualan serta meningkatkan pengalaman pemilikan motosikal bagi pengguna di seluruh dunia.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related