Pedro Acosta menilai perkembangan jentera KTM sebagai positif selepas melalui sesi ujian pra-musim yang mencabar di Litar Antarabangsa Sepang, Malaysia pada Selasa.
Pelumba muda sensasi itu meluahkan kepuasan terhadap penambahbaikan casis yang diperkenalkan pasukannya, sambil mengakui masih terdapat beberapa aspek teknikal yang perlu diperhalusi sebelum ujian berakhir.
Menurut Acosta, fokus utama KTM ketika ini adalah untuk meningkatkan keupayaan jentera agar lebih mudah membelok, khususnya di selekoh panjang yang sebelum ini menjadi kelemahan utama. Beliau menjelaskan bahawa KTM sering berdepan kesukaran di selekoh berkelajuan tinggi dan panjang seperti di Australia, Silverstone serta Selekoh 5 Sepang.
“Kami cuba membuatkan jentera lebih mudah membelok. Kami tahu kami banyak bergelut di selekoh panjang seperti di Australia, Silverstone atau Selekoh 5 di Malaysia dan setakat ini hasilnya kelihatan cukup memberangsangkan,” kata Acosta.
Dari sudut pembangunan casis, Acosta percaya kerja-kerja utama sudah berada di landasan tepat dan menunjukkan peningkatan ketara berbanding ujian pra-musim tahun lalu.
“Pada pendapat saya, bahagian casis sudah selesai. Hari ini kami akan fokus kepada aero. Ini peningkatan besar berbanding tahun lepas. KTM bekerja keras dan membawa apa yang kami minta, dan nampaknya mereka sudah menyentuh titik yang betul,” tambahnya.
Selain casis, aspek aerodinamik turut menjadi tumpuan utama bagi meningkatkan kestabilan bahagian hadapan jentera. Acosta menjelaskan bahawa walaupun sebahagian ujian aero telah dilakukan, lebih banyak kerja perlu disempurnakan bagi mendapatkan pakej terbaik yang menggabungkan keupayaan membelok dan kestabilan hadapan.
“Saya fikir esok akan menarik untuk memberi tumpuan pada sesi pagi dan cuba mendapatkan pakej yang baik untuk sebelah petang. Saya mahukan sedikit lagi keupayaan membelok dan, jika boleh, lebih kestabilan di bahagian hadapan. Itu sudah cukup menggembirakan saya,” jelasnya.
Namun begitu, Acosta turut mendedahkan satu isu yang tidak dijangka apabila beliau merasai getaran luar biasa seawal pusingan pertama, satu sensasi yang belum pernah dialaminya sebelum ini dan berlaku pada kedua-dua jenteranya.
“Saya mengalami getaran sejak pusingan pertama, satu getaran yang pelik. Saya tidak pernah mengalaminya sebelum ini, dan ia berlaku pada kedua-dua jentera,” katanya.
Walaupun menunjukkan perkembangan positif, Acosta kekal realistik dan berhati-hati dalam menilai keputusan awal. Beliau mengorbankan peluang mencatat masa terpantas demi memberi tumpuan sepenuhnya kepada kerja-kerja ujian, sambil menegaskan bahawa semua usaha ini hanya bermakna jika ia diterjemahkan kepada prestasi kompetitif pada penghujung ujian.
“Saya boleh jawab sama ada saya gembira atau tidak pada hari ketiga. Jika anda tidak laju, semua kerja ini tidak bermakna,” tegas Acosta.
Secara keseluruhan, Acosta percaya KTM sedang bergerak ke arah yang betul, namun keputusan sebenar hanya akan dapat ditentukan selepas keseluruhan sesi ujian pra-musim diselesaikan dan tahap daya saing jentera benar-benar dapat disahkan.


