Persembahan yang luar biasa yang dipamerkan Diogo Moreira, ianya bukan sahaja menghadiahkan kemenangan, malah mencipta sejarah baharu buat Brazil apabila pelumba muda yang semakin menyerlah itu membuktikan kehebatannya di Valencia semalam.
Pelumba Italtrans Racing Team berkenaan menutup tirai musim 2025 sebagai Juara Dunia Moto2, sekali gus menjadi pelumba Brazil pertama dalam sejarah Kejuaraan Grand Prix yang berjaya menjulang gelaran dunia.
Pada usia 21 tahun, bakat besar dari São Paulo ini mengukuhkan statusnya sebagai bintang baharu sukan permotoran malah dia sudah pun disahkan bakal naik ke kelas MotoGP pada musim 2026.
Musim 2025 menyaksikan Moreira menampilkan prestasi luar biasa dengan empat kemenangan dan sembilan podium, dan dia menutup kempen bersejarah ini dengan penuh dramatik apabila memastikan gelaran dalam perlumbaan penentu di Valencia. Namun siapakah Diogo Moreira?
SIAPAKAH DIOGO MOREIRA
Dilahirkan di São Paulo pada 23 April 2004, Moreira mula menunjukkan potensi luar biasa di usia muda. Pada 2019, dia muncul pemenang rookie dalam European Talent Cup sebelum berpindah ke saingan JuniorGP. Dalam musim keduanya, dia berjaya menaiki podium, dan pada masa yang sama turut menyertai Red Bull Rookies Cup dengan empat podium direkodkan.
Walaupun kemenangan pertamanya belum tiba ketika itu, keupayaannya untuk kekal konsisten menjadikan nama Moreira semakin disebut-sebut.

MENEMPA NAMA DALAM KEJUARAAN DUNIA
Pada usia hanya 16 tahun, Moreira membuat debutnya dalam Moto3 di Lusail, Qatar dan terus mencuri tumpuan dengan menamatkan perlumbaan di Petak 6 selepas bermula di Petak 18. Beberapa minggu kemudian, dia sudah pun berjaya menempatkan diri di barisan petak hadapan. Musim 2022 pula menyaksikan Moreira meraih kedudukan pole di Silverstone dan menutup tahun pertamanya di tempat kelapan secara keseluruhan.
Pada tahun 2023, Moreira terus memperkukuhkan reputasinya dengan kemenangan sulung di Mandalika. Prestasinya yang semakin matang membuktikan dia berpotensi menjadi pencabar kejuaraan satu hari nanti.
Perpindahan ke Moto2 pada 2024 bukanlah mudah, namun Moreira berjaya mengumpul lima keputusan dalam kelompok 10 terbaik secara berturut-turut di penghujung musim, termasuk podium sulung di Barcelona yang sudah cukup untuk menarik perhatian ramai menjelang 2025.

JALAN MENUJU KEJUARAAN 2025
Kempen 2025 bermula perlahan, namun podium pertamanya di Silverstone membuka lembaran baharu. Selepas itu, beliau memperbaiki dan mempamerkan prestasi konsisten dan kejayaan demi kejayaan mula muncul:
- Petak 2 paling hampir dalam sejarah Moto2 di Aragon (kalah dengan catatan 0.003s)
- Pole position berturut-turut di Mugello dan Assen
- Kemenangan pertama Moto2 di Assen dalam aksi sengit menahan Aron Canet
- Menjadi pencabar utama kepada Manuel Gonzalez menjelang separuh kedua musim
Moreira kemudian meraih kemenangan di Austria, podium di Hungary, serta tiga podium dan satu lagi kemenangan dalam siri perlumbaan luar negara. Titik perubahan terbesar berlaku di Sepang apabila Gonzalez terjatuh tiga pusingan sebelum tamat, sekali gus memberi kelebihan kepada Moreira.
Di Portimao, kemenangannya memberikan jurang 24 mata menjelang perlumbaan di Valencia. Hanya dua mata diperlukan dan Moreira melakukannya dengan kedudukan di Petak 10, yang sudah memadai untuk dimahkotakan sebagai juara selepas Gonzalez gagal mengutip mata.
Brazil terkenal dengan lagenda sukan seperti Pele, Ronaldinho, Ronaldo dan Neymar yang semuanya pemilik kepada nombor keramat #10, sama seperti nombor Moreira. Dalam dunia permotoran, Ayrton Senna menjadi ikon dengan tiga gelaran F1, diikuti nama besar seperti Felipe Massa, Rubens Barrichello dan Alex Barros.
Kini, negara itu mempunyai wira baharu dalam arena dua roda. Dengan Diogo Moreira yang memahat namanya dalam buku Sejarah mereka, bukan sekadar juara malah dia juga menjadi simbol era baharu untuk Brazil dalam Kejuaraan Dunia.


