Pelumba Brazil, Diogo Moreira (Italtrans Racing Team) kini hanya selangkah lagi untuk dinobatkan sebagai Juara Dunia Moto2 2025 selepas meraih kemenangan bergaya di Litar Portimao, Portugal.
Dengan jurang mata kini sebanyak 24 mata mendahului pencabar terdekatnya, Manuel Gonzalez (Liqui Moly Dynavolt Intact GP) yang menamatkan perlumbaan di tempat keenam, Moreira berada dalam posisi terbaik menjelang pusingan penutup musim di Valencia minggu depan.
Perlumbaan di Portimao menyaksikan dua pelumba muda turut mencuri tumpuan apabila Collin Veijer (Red Bull KTM Ajo) meraih podium pertamanya di tempat kedua, manakala David Alonso (CFMOTO Inde Aspar Team) melengkapkan podium dengan kedudukan ketiga podium ketiga berturut-turutnya musim ini.
Bermula dari petak utama, Moreira memulakan perlumbaan dengan sempurna apabila terus memimpin di selekoh pertama, diikuti Veijer dan Jake Dixon (ELF Marc VDS Racing Team). Namun, selepas beberapa pusingan sengit dengan pelumba-pelumba muda berbakat, Moreira menunjukkan ketenangan luar biasa untuk kembali memintas Veijer di selekoh ke-11 pada tiga pusingan terakhir, sekali gus menjarakkan diri dan menamatkan perlumbaan di kedudukan pertama dengan bergaya.
Kemenangan ini bukan sahaja mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju kejuaraan, malah meletakkan Moreira di ambang sejarah sebagai pelumba Brazil pertama yang berpotensi merangkul gelaran dunia dalam kelas pertengahan sejak era lama Moto2. Untuk mengesahkan kejuaraan di Valencia nanti, Moreira hanya memerlukan kedudukan dalam 14 pelumba teratas, manakala Gonzalez wajib menang untuk mengekalkan harapan.
Bagi pasukan Fantic Racing, keputusan di Portimao juga membawa berita gembira apabila mereka mengunci gelaran Pasukan Terbaik Moto2 2025, hasil konsistensi Aron Canet (Petak 4) dan Barry Baltus (Petak 5).
Kini Litar Ricardo Tormo, Valencia, sudah pasti menjadi tumpuan utama apabila bakal menjadi medan saksi penentu kejuaraan. Moreira dalam prestasi terbaik dan hanya selangkah daripada mahkota dunia, manakala Gonzalez perlu tampil dengan aksi sempurna untuk mengubah sejarah. Pertarungan penutup musim dijangka penuh emosi dan mungkin menentukan permulaan era baharu bagi pelumba muda Brazil itu sebelum dia melangkah ke arena MotoGP 2026.


