Pertarungan bersejarah di Litar Sepang

Sejak mula disenaraikan dalam kalendar MotoGP, Litar Antarabangsa Sepang telah menjadi saksi kepada pelbagai detik bersejarah daripada penentuan juara dunia hingga insiden yang masih hangat diperkatakan sehingga kini.

Dari perlumbaan penuh drama hingga pertarungan sengit di selekoh terakhir, Sepang kekal sebagai antara lokasi paling ikonik dalam dunia dua roda. Tahun lalu, kita disajikan aksi menakjubkan seawal pusingan pertama, dan kini, menjelang edisi 2025, debaran semakin terasa.

2010 – Lorenzo Cipta Kejayaan Emas
GP Malaysia 2010 menjadi saksi Jorge Lorenzo merangkul kejuaraan dunia pertamanya. Bermula di barisan hadapan, Lorenzo bersaing rapat dengan Andrea Dovizioso dan Valentino Rossi. Aksi dramatik di selekoh terakhir menyaksikan Rossi menewaskan Dovizioso untuk kemenangan, namun tempat ketiga sudah cukup buat Lorenzo dinobatkan Juara Dunia MotoGP 2010 , satu kenangan yang terpahat kukuh di Sepang.

2015 – Insiden ‘Sepang Clash’
Antara detik paling kontroversi dalam sejarah MotoGP tercetus di Sepang pada tahun 2015. Pertembungan hangat antara Valentino Rossi dan Marc Marquez. Ketegangan di antara kedua-dua pelumba memuncak sehingga berlakunya insiden yang mengundang pelbagai perdebatan.

Walaupun Dani Pedrosa muncul juara dan Jorge Lorenzo di tempat kedua, ‘Sepang Clash’ terus dikenang hingga ke hari ini sebagai salah satu bab paling panas dalam sejarah MotoGP.

2016 – Kemenangan Manis Dovizioso
Cuaca tidak menentu mewarnai GP Malaysia 2016 apabila hujan lebat melanda sebelum perlumbaan. Dalam keadaan mencabar itu, Andrea Dovizioso tampil cemerlang selepas Andrea Iannone terjatuh ketika mendahului. Dovizioso akhirnya menewaskan Rossi dan Lorenzo untuk meraih kemenangan pertamanya sejak 2009 sekaligus menjadi pemenang ke-9 berbeza dalam musim yang luar biasa.

2022 – Dominasi Ducati di Sepang
Perlumbaan tahun 2022 menyaksikan pertarungan sengit antara dua jentera Ducati, Francesco Bagnaia dan Enea Bastianini. Setelah Jorge Martin terjatuh di pusingan ke-7, dua pelumba Itali itu saling bertukar kedudukan dalam aksi penuh debaran. Bagnaia akhirnya menamatkan perlumbaan dengan kemenangan tipis 0.270 saat, menewaskan Bastianini dan mengekalkan momentum menuju pusingan akhir musim.

2024 – Pertarungan Epik Bagnaia vs Martin
Tahun lalu pula memperlihatkan salah satu pertarungan terbaik era moden apabila Bagnaia dan Martin sekali lagi berentap hebat di Sepang. Kedua-duanya beraksi dengan penuh agresif, saling bertukar posisi dalam beberapa pusingan pertama sebelum Bagnaia berjaya mempertahankan kedudukan untuk mengekalkan peluang kejuaraannya ke pusingan terakhir. Perlumbaan itu kekal dalam ingatan sebagai antara aksi paling mendebarkan di Litar Sepang.

Kini, menjelang GP Malaysia 2025, persoalan hangat kembali timbul, adakah sejarah baharu bakal tercipta di bumi Sepang? Dengan cuaca tidak menentu, pelumba muda berbakat seperti Hakim Danish bakal beraksi di hadapan penyokong sendiri, dan rekod penonton yang semakin meningkat setiap tahun, hujung minggu ini pasti menjanjikan satu lagi bab legenda dalam sejarah MotoGP di Malaysia.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related