Perhentian terakhir bagi siri jelajah luar Eropah musim ini bakal berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS (PSIC), menerusi Petronas Grand Prix of Malaysia. Selepas cuaca sejuk dan angin kuat di Phillip Island, para pelumba kini berdepan kelembapan tinggi dan cuaca tropika Malaysia.
Sudah tentu ujian fizikal serta mental yang bakal menentukan siapa yang akan menamatkan musim dengan penuh bergaya. Dengan tujuh pemenang berbeza setakat ini dalam musim 2025, persoalannya kini adakah Sepang bakal melahirkan pemenang kelapan?
Walaupun gelaran juara dunia sudah pun dimuktamadkan, saingan untuk tempat kedua masih terbuka luas. Alex Marquez (BK8 Gresini Racing MotoGP) kini menjadi pilihan utama untuk menamatkan musim sebagai naib juara, manakala Marco Bezzecchi (Aprilia Racing) kekal sebagai pencabar terdekat selepas menunjukkan prestasi cemerlang di dua pusingan terakhir.
Dengan Marc Marquez (Ducati Lenovo Team), Jorge Martin (Aprilia Racing) dan Maverick Viñales (Red Bull KTM Tech3) disisihkan akibat kecederaan, peluang untuk pelumba lain mencipta kejutan semakin besar.
Bekas juara dunia, Francesco Bagnaia (Ducati Lenovo Team), tiba di Sepang dengan semangat untuk bangkit selepas dua hujung minggu sukar. Pemenang GP Malaysia 2022 dan 2024 itu yakin gaya tunggangannya yang agresif sesuai dengan karakter brek keras di Litar Sepang.
Namun, dia harus berwaspada dengan Pedro Acosta (Red Bull KTM Factory Racing) yang semakin konsisten memburu podium, serta Fabio Di Giannantonio (Pertamina Enduro VR46 Racing Team) yang kini kembali bersaing untuk kelompok lima teratas selepas podium di Phillip Island.
Dua nama muda yang turut mencuri tumpuan musim ini, Fermin Aldeguer (BK8 Gresini Racing MotoGP) dan Raul Fernandez (Trackhouse MotoGP Team) muncul sebagai pemenang baharu dalam dua pusingan terakhir di Indonesia dan Australia.
Aldeguer, yang pernah menang di Sepang dalam kelas Moto2 dua tahun lalu, kini memburu podium semula selepas mengalami jalan berliku di Phillip Island. Sementara itu, Fernandez tampil hebat dengan dua podium Sprint dan satu kemenangan Grand Prix, melonjak ke kelompok 10 teratas dalam kedudukan keseluruhan.
Dalam masa yang sama, pasukan KTM terus menunjukkan peningkatan ketara apabila keempat-empat pelumba mereka berada dalam kelompok 10 terbaik di Australia. Pemenang GP Malaysia 2023, Enea Bastianini (Red Bull KTM Tech3), sudah pasti kembali dengan misi podium berganda seperti musim lalu.
Dalam kem Honda pula, Luca Marini (Honda HRC Castrol) semakin konsisten dengan dua keputusan enam terbaik berturut-turut, manakala rakan sepasukannya Joan Mir berharap dapat menamatkan nasib malang di Phillip Island.
Dengan hanya tiga pusingan berbaki, setiap mata amat berharga. Franco Morbidelli (VR46 Racing) mahu menebus kesilapan di Australia, manakala Ai Ogura (Trackhouse MotoGP Team) terus mencari keputusan terbaik selepas berjaya mengutip mata di Phillip Island.
Di pihak Miguel Oliveira (Prima Pramac Yamaha), enam perlumbaan berturut-turut dengan pungutan mata memberi semangat tambahan untuk terus kekal konsisten di Sepang tempat di mana beliau pernah menang dalam Moto2 pada tahun 2017.
Dibuka pada tahun 1999, Litar Antarabangsa Sepang sepanjang 5.543 kilometer ini mempunyai 15 selekoh 10 kanan dan 5 kiri serta dua laluan lurus panjang yang terkenal dengan aksi potong memotong berkelajuan tinggi.
Rekod kelajuan tertinggi di Litar Sepang dicatat oleh Andrea Iannone pada tahun 2015 dengan kelajuan mencecah 339.6 km/j, manakala edisi 2024 pula menyaksikan kehadiran penonton tertinggi dalam sejarah MotoGP Malaysia seramai 184,923 orang membanjiri litar. Adakah hujung minggu ini bakal menyaksikan rekod baharu tercipta? Sama-sama kita nantikan sambil memberikan sokongan padu kepada pelumba negara, Hakim Danish, yang bakal beraksi sebagai wildcard dalam kategori Moto3
Baca juga:


