Sebelum memahami mengapa Singapura pada awalnya disebut-sebut sebagai lokasi rasmi pelancaran MotoGP 2026, elok kita menilai semula bagaimana cerita ini bermula.
Dari Spekulasi Media ke Realiti
Media antarabangsa yang rapat dengan dunia MotoGP sering menjadi rujukan utama, malah kebanyakannya terbukti sahih. Tidak hairanlah jika maklumat dalaman mereka mendapat perhatian. Namun, isu utama kali ini bukanlah tentang kredibiliti media, sebaliknya soal logistik yang dikatakan punca kenapa lokasi diubah.
Ada pandangan bahawa faktor logistik menjadi penghalang. Namun hakikatnya, pengangkutan kargo jentera MotoGP bukanlah isu besar – contohnya dari Sepang ke Bangkok sebelum ini tiada masalah malah mengikut jadual penganjuran. Kos penerbangan, perjalanan dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur ke Changi juga bukan mustahil jika kerajaan Singapura bersetuju untuk benar-benar acara ini diadakan.
Peranan Liberty Media
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi daripada Dorna ataupun Liberty Media. Selepas hak penganjuran MotoGP berpindah dari Dorna ke Liberty Media, hala tuju pelancaran ini mungkin sedikit berbeza. IRTA dan FIM juga pasti terlibat, memandangkan pelancaran global sebegini bermula sejak 2025.
Semasa pelancaran MotoGP 2025 di One Bangkok, pihak Tarmac Sports turut hadir menyaksikan sendiri bagaimana acara mega ini menjadi tarikan utama. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Sepang International Circuit, Azhan Shafriman ketika ditemu ramah dalam acara yang sama, menyifatkannya sebagai inisiatif yang berjaya dimana Dorna dan kerajaan Thailand bersama-sama bawa satu pembaharuan kepada MotoGP untuk menjadikan Bangkok sebagai hab pengaktifan MotoGP.
Menurut beliau:
“Hasil perbincangan kami dengan pihak Dorna, andai murah rezeki kita akan bawa acara sebegini ke Kuala Lumpur sempena Visit Malaysia 2026.”
“Salah satu inisiatif yang Dorna ingin ketengahkan adalah bekerjasama rapat dengan negara yang ada MotoGP contohnya Thailand dan Malaysia. Jadi penjenamaan dan tarikan MotoGP boleh dibawa lebih dekat lagi kepada peminat diluar sukan permotoran termasuk golongan muda dan mereka yang melihat sukan ini sebagai gaya hidup.”
Strategi Liberty Media
Liberty Media mempunyai rekod cemerlang dalam menguruskan Formula 1, termasuk kejayaan siri Netflix Drive to Survive. Tidak hairan jika Singapura tiba-tiba disebut-sebut sebagai lokasi baru, apatah lagi ketika F1 diadakan di sana. Namun, realitinya Singapura bukan pasaran motosikal terbesar, berbanding Malaysia yang jelas mempunyai budaya dan komuniti lebih kuat dalam dunia permotoran.
Untuk pelancaran musim baharu MotoGP, tiada proses bidaan rasmi, sebaliknya ia bergantung pada perbincangan antara penganjur dan Liberty Media. Dari sudut perniagaan, kemungkinan besar media antarabangsa digunakan sebagai tekanan halus terhadap Malaysia, memandangkan kontrak penganjuran Sepang bakal tamat pada 2026.
Keperluan Sokongan Kerajaan
Ketika ini, kerajaan Malaysia masih belum membentangkan Belanjawan 2026. Perincian bajet, khususnya melibatkan pembaharuan kontrak MotoGP selepas 2026, perlu diberi perhatian segera. Jika tidak, kita berdepan risiko situasi yang pernah berlaku dengan F1 dahulu.

Malaysia Ada Potensi Besar
Malaysia sendiri sudah mempunyai lokasi strategik seperti Tun Razak Exchange (TRX City Park). Malah, sidang media MotoGP 2025 oleh SIC juga berlangsung di TRX, membuktikan kita mempunyai lokasinya sesuai untuk acara berskala antarabangsa. Namun usaha sama antara pelbagai pihak termasuk Tourism Malaysia perlu disokong oleh semua pihak.
Menurut pandangan Tarmac Sports, pelancaran mega sebegini wajar menjadi inisiatif nasional, bukan hanya tertumpu pada KBS. Dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 dan peningkatan penonton MotoGP dari tahun ke tahun, Kuala Lumpur muncul sebagai pilihan yang lebih realistik dan berimpak besar untuk pelancaran MotoGP 2026.
Dapatkan tiket MotoGP PETRONAS Grand Prix of Malaysia 2025 yang akan berlangsung pada 24-26 Oktober ini. Anda berpeluang untuk nikmati 25% diskaun dengan masukkan kod ‘PODCAST25’ semasa pembelian tiket MotoGP di sepangcircuit.com. * Kod diskaun sah sehingga 20 Oktober 2025.


