Angel Piqueras rangkul kemenangan penting

Angel Piqueras (FRINSA – MT Helmets – MSI) muncul juara dalam perlumbaan penuh dramatik Moto3 di Grand Prix Catalunya, sekali gus merapatkan jurang kejuaraan dengan pencabar utama, Jose Antonio Rueda (Red Bull KTM Ajo).

Kemenangan ini cukup bermakna buat Piqueras apabila beliau kini memotong lima mata daripada kelebihan Rueda, yang sekadar menamatkan perlumbaan di tempat kedua selepas menjalani penalti Long Lap di Litar Barcelona itu pada petang Ahad.

Di kedudukan ketiga, Taiyo Furusato (Honda Team Asia) berjaya mempertahankan podium meskipun diberikan tekanan hebat pada selekoh terakhir, sekali gus mengutip podium keduanya musim ini.

Sorotan aksi moto3 GP Catalunya

Debutan pole sitter, David Almansa (Leopard Racing) bermula cemerlang dengan mengekalkan kedudukan di selekoh pertama. Maximo Quiles (CFMOTO Gaviota Aspar Team) turut mempamerkan aksi bertenaga apabila melonjak daripada petak kesembilan (P9) ke kelompok hadapan bersama Almansa, Joel Kelso (LEVEL-UP MTA), dan David Muñoz (LIQUI MOLY Dynavolt Intact GP).

Piqueras sebaliknya terperangkap di awal perlumbaan apabila jatuh ke P6, sementara Rueda dikenakan penalti pusingan panjang (Long Lap) di pusingan ke-3 yang menolak pelumba Sepanyol itu ke P15.

Namun, Piqueras segera bangkit dengan memanjat ke P3 menjelang Lap 4, dan Rueda turut pantas melakukan kebangkitan untuk kembali bersaing dalam kelompok 10 teratas.

Menjelang Lap 11, Rueda berjaya mengambil alih kedudukan pendahulu buat kali pertama, sekali gus memberikan tekanan kepada Piqueras dan Almansa. Tetapi drama berlaku apabila Quiles yang sedang bersaing untuk podium melakukan kesilapan di Selekoh 1 dan tergelincir hingga ke P14.’

Rueda cuba meloloskan diri dengan kelebihan 0.5 saat, namun Piqueras bersama kelompok besar pelumba lain pantas menutup jurang. Dengan baki dua pusingan terakhir, pertarungan semakin sengit apabila kedudukan podium sering bertukar tangan.

Di pusingan penutup, Piqueras berjaya merampas kedudukan pertama di Selekoh 1. Rueda yang seketika tergelincir ke P4 cuba melakukan serangan balas di beberapa selekoh, namun Piqueras kekal tenang dan mengekalkan kawalan sehingga ke garisan penamat.

Rueda bagaimanapun sempat melancarkan serangan “Valentino Rossi style” di selekoh terakhir untuk menewaskan Furusato dan menamatkan saingan di P2. Furusato tetap berpuas hati di P3, podium pertamanya sejak GP Qatar.

Almansa dan rakan sepasukan, Adrian Fernandez, menamatkan perlumbaan di P4 dan P5, sementara Guido Pini (LIQUI MOLY Dynavolt Intact GP) berada di P6.

Dengan keputusan ini, KTM secara rasmi mengesahkan kejuaraan dunia konstruktor Moto3 musim ini satu lagi pencapaian gemilang buat jenama Austria tersebut.

Keputusan 10 Teratas Moto3 Catalunya:

  1. Angel Piqueras (FRINSA – MT Helmets – MSI)
  2. Jose Antonio Rueda (Red Bull KTM Ajo)
  3. Taiyo Furusato (Honda Team Asia)
  4. David Almansa (Leopard Racing)
  5. Adrian Fernandez (Leopard Racing)
  6. Guido Pini (LIQUI MOLY Dynavolt Intact GP)
  7. Joel Kelso (LEVEL-UP MTA)
  8. David Muñoz (LIQUI MOLY Dynavolt Intact GP)
  9. Ryusei Yamanaka (FRINSA – MT Helmets – MSI)
  10. Valentin Perrone (Red Bull KTM Tech3)

Baca juga:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related