MotoGP secara rasmi akan terus berlumba di Litar Barcelona-Catalunya sehingga tahun 2031. Keputusan ini dibuat selepas kejayaan perlumbaan Solidarity GP 2024, yang menjadi penentu kejuaraan serta medan perlumbaan yang dinobatkan sebagai Grand Prix Terbaik musim ini.
Dengan kontrak baharu yang diumumkan pada 13 Februari ini, MotoGP akan terus menambah lembaran sejarahnya di Barcelona untuk tahun-tahun akan datang.
Menteri Perniagaan dan Buruh Kerajaan Catalonia serta Presiden Litar Barcelona-Catalunya, Miquel Samper menyatakan kegembiraannya terhadap perjanjian ini menerusi satu kenyataan.
“Kami sangat gembira dengan perjanjian ini yang memperkukuhkan hubungan Catalonia dengan perlumbaan motor, terutamanya Grand Prix yang telah berlangsung di Litar Barcelona-Catalunya sejak 1992, lebih 30 tahun yang lalu. Mengekalkan MotoGP di Catalonia sehingga 2031 adalah berita yang luar biasa bagi reputasi rantau ini sebagai penganjur acara sukan bertaraf antarabangsa.
Dalam pada itu, Presiden Fira de Barcelona dan Fira Circuit Pau Relat turut menzahirkan rasa bangga terhadap lanjutan kontrak ini.
“Perjanjian ini adalah berita baik buat litar kami. Kami sangat berbesar hati untuk terus menjadi tuan rumah kepada kejuaraan motosikal paling berprestij ini, yang telah menjadi sebahagian daripada sejarah litar sejak tahun 1992.
“Di Fira Circuit, kami komited untuk bekerjasama dengan institusi, Dorna, dan komuniti MotoGP bagi memastikan Grand Prix ini sentiasa memenuhi standard tertinggi serta menjadi pengalaman yang tidak dapat dilupakan bagi para peminat dan pasukan perlumbaan,” ujarnya.
Sejak debutnya pada tahun 1992, litar ini telah menjadi salah satu ikon dalam kalendar perlumbaan dengan 34 Grand Prix telah diadakan di sini. Malah, ia kini merupakan litar ketiga dengan musim paling banyak berturut-turut menjadi tuan rumah MotoGP.
Terletak di salah satu bandar utama dunia dengan peminat yang penuh semangat, Barcelona disahkan secara rasmi pada 13 Februari bakal terus menjadi destinasi ikonik bagi kejohanan MotoGP.
Grand Prix Catalunya seterusnya dijadualkan berlangsung dari 5 hingga 7 September 2025.


