Yamaha Motor Co., Ltd. (YMC) dan Yamaha Motor Racing Srl (YMR) telah memperkenalkan perancangan pertengahan penggal mereka dalam Acara Pelancaran Yamaha MotoGP 2025 yang berlangsung di W Hotel, Kuala Lumpur, Malaysia.
Acara yang berlangsung pada 31 Januari 2025 itu turut menekankan konsep ‘joint leadership’, pembangunan bakat global, serta semangat ‘Spirit of Challenge’ dalam usaha memperkukuhkan lagi prestasi Yamaha di MotoGP melalui kerjasama erat antara Yamaha Motor Company, Yamaha Motor Racing, dan Pramac Racing.
Dalam perancangan tersebut, Yamaha menyatakan bakal memberi tumpuan kepada kepimpinan bersama (joint leadership) serta pembangunan bakat bagi memastikan sumber terbaik mereka dalam keadaan tersedia untuk menghadapi cabaran dan peluang yang ada di MotoGP.
Pendekatan tersebut dipercayai bertujuan mempercepatkan pembangunan jentera, mengasah bakat baharu, dan meningkatkan prestasi Yamaha melalui sinergi yang lebih erat antara semua pihak yang terlibat.
“Impian dan matlamat kami amat jelas iaitu untuk mengembalikan Yamaha ke kedudukan teratas sama seperti pasukan lain, dalam perlumbaan mahupun perniagaan. Namun, yang membezakan kami adalah cara kami untuk berada di kedudukan tersebut.
“Pendekatan yang diambil oleh kami sudah tentu berbeza dengan kepebelbagaian yang ada dalam pasukan kami seperti Japan dan Itali dalam pasukan. Komitmen kami untuk kembali ke kedudukan teratas secara tidak langsung membantu kami dalam mengimplikasi kan model baharu dengan sumber terbaik yang boleh didapati di Eropah dan Jepun,” kata Pengurus Direktor Yamaha, Paulo Pavesio ketika majlis pelancaran.
Dalam pada itu,Yamaha Motor Company’s Motor Sports Division dan Yamaha Motor Racing pula akan berkongsi tanggungjawab dalam Projek MotoGP Yamaha, termasuk pembangunan teknikal. Ini akan mengukuhkan hubungan kerja antara kedua-dua entiti tersebut. Strategi ini juga melibatkan kerjasama erat antara Yamaha dan rakan strategik baharu mereka, Pramac Racing, yang akan memainkan peranan penting dalam pembangunan jentera dan pengumpulan data.
Yamaha Motor Racing akan diketuai oleh Presiden Takahiro Sumi dan Pengarah Urusan Paolo Pavesio. Dalam aspek operasi perlumbaan, mereka akan memantau kerja yang diketuai oleh Ketua Projek Kazuhiro Masuda, yang akan bekerjasama rapat dengan Pengarah Teknikal Max Bartolini dan Pengarah Pasukan Monster Energy Yamaha MotoGP, Maio Meregalli.
Bagi operasi sokongan di ibu pejabat Gerno di Lesmo, Paolo Pavesio akan mengetuai Sport Manager Maio Meregalli, Engineering Manager Michele Gadda, serta Marketing and Communications Manager William Favero, dengan sokongan daripada Senior Advisor Lin Jarvis.
Sementara itu, pasukan Monster Energy Yamaha MotoGP akan diketuai oleh Team Director Maio Meregalli, bersama barisan pelumba mereka, Fabio Quartararo dan Álex Rins. Manakala, bagi pasukan Prima Pramac Yamaha MotoGP, ia akan dikendalikan oleh Team Principal Paolo Campinoti dan Team Director Gino Borsoi, dengan Jack Miller dan Miguel Oliveira sebagai pelumba utama.
Pasukan kedua ini akan berstatus kilang (factory team) dan mendapat sokongan penuh daripada Yamaha Motor Company dan Yamaha Motor Racing. Mereka juga akan berkongsi data serta bekerjasama rapat dengan pasukan Monster Energy Yamaha MotoGP bagi meningkatkan pengumpulan data dan pembangunan jentera YZR-M1.
Sebagai sebahagian daripada strategi jangka sederhana ini, Yamaha dan Pramac juga akan memperkenalkan pasukan baharu dalam kelas Moto2: BLU CRU Pramac Yamaha Moto2 Team. Inisiatif ini adalah sebahagian daripada program pembangunan bakat Yamaha, BLU CRU, yang bertujuan untuk melahirkan pelumba muda berbakat dalam sukan permotoran, termasuk MotoGP, WorldSBK, dan MXGP.
Penyertaan pasukan BLU CRU Pramac Yamaha Moto2 dalam kelas pertengahan MotoGP adalah langkah penting dalam melengkapkan laluan pembangunan bakat untuk ratusan pelumba Yamaha di seluruh dunia.
Pasukan Moto2 ini akan dikendalikan oleh Team Principal Paolo Campinoti, Team Director Gino Borsoi, dan Team Manager Alex De Angelis, dengan Tony Arbolino dan Izan Guevara sebagai pelumba utama.
Semua enam pelumba Yamaha dalam kelas MotoGP dan Moto2 (Fabio Quartararo, Álex Rins, Jack Miller, Miguel Oliveira, Tony Arbolino, dan Izan Guevara) telah ditandatangani secara langsung oleh Yamaha Motor Company sebagai pelumba kilang.
Selain itu, dua pasukan MotoGP Yamaha ini akan turut dibantu oleh Yamaha Factory Racing MotoGP Test Team, yang terdiri daripada Team Manager Kazutoshi Seki serta pelumba ujian Augusto Fernandez dan Cal Crutchlow. Namun, dengan keadaan Crutchlow yang tidak cergas untuk menjalankan tugas ujian, Yamaha telah mendapatkan khidmat Andrea Dovizioso bagi membantu dalam pembangunan jentera YZR-M1.
Bagi menggambarkan hubungan erat antara dua pasukan kilang Yamaha MotoGP, rekaan livery jentera dan logo pasukan telah diselaraskan untuk mencerminkan identiti jenama Yamaha serta kerjasama yang harmoni antara syarikat, pasukan, dan pelumba.

Sementara itu, pasukan BLU CRU Pramac Yamaha Moto2 menampilkan estetika dan identiti visual tersendiri, termasuk logo baharu BLU CRU yang mencerminkan nilai dan objektif program ini sebagai platform pembangunan bakat masa depan Yamaha.
Dengan pelaksanaan strategi jangka sederhana ini, Yamaha Motor Company dan Yamaha Motor Racing jelas menunjukkan komitmen mereka untuk memperkukuhkan kehadiran di MotoGP melalui kepimpinan bersama, pembangunan bakat global, serta semangat Spirit of Challenge.


