Pasukan Trackhouse Racing MotoGP secara rasmi memperkenalkan pasukan mereka untuk musim 2025 dengan penuh semangat dan keyakinan dalam acara pelancaran yang berlangsung di ibu pejabatnya yang terletak di Concorde, North Calorina, Amerika Syarikat.
Pasukan yang memasuki saingan MotoGP dengan misi besar ini mempamerkan jentera dan pelumba mereka dalam satu majlis penuh gilang-gemilang yang dilaksanakan pada hari ini, sekitar 1 pagi waktu tempatan.
Dengan gabungan warna asas biru dan hitam yang menjadi identiti gaya Trackhouse sejak mula berlumba pada tahun 2021, kini mereka kembali dengan rekaan dan warna tambahan pada pakaian rasmi mereka seperti kuning neon bagi menandakan persediaan untuk berlumba.
Dalam pada itu, mereka turut mempamerkan Jentera NASCAR Cup Chevrolet Camaro ZL1 dan motosikal Aprilia RS-GP MotoGP yang menampilkan skema rekaan terbaru yang unik untuk musim ini.
Livery baharu bersama dengan rekaan yang menggabungkan elemen moden dan identiti pasukan. Jentera mereka bukan sahaja memukau dari segi visual tetapi juga menjanjikan prestasi tinggi dengan barisan pelumba NASCAR CUP dan MotoGP yang diperkenalkan, bakal menggegarkan litar.
Bagi perlumbaan NASCAR Cup, pelumba utama mereka Ross Chastain kekal menggunakan nombor #1, manakala Daniel Suarez bersama nombor #99 dan terdapat sedikit perubahan apabila Shane Van Gisebergen bakal menukar nombor platnya dari #97 ketika bersama Kaulig Racing kepada nombor #88 musim ini.
Bagi MotoGP pula, Raul Fernandez kekal dengan nombor #25 dan rookie Ai Ogura bersama nombor #79.

Dalam pada itu, Ketua teknikal pasukan, bersama barisan jurutera berpengalaman, turut optimis dengan persediaan mereka menjelang perlumbaan pembukaan di Buriram, Thailand, pada 28 Februari hingga 3 Mac ini.
Dengan kemasukan Trackhouse ke arena MotoGP musim ini, saingan dijangka menjadi lebih sengit dan menarik. Semua mata kini tertumpu kepada pasukan baharu ini untuk melihat sejauh mana mereka mampu memberi impak di pentas dunia.
Terdahulu, Acara tersebut menampilkan Raul Fernandez dan bintang utama mereka, Juara Dunia Moto2 2024, Ai Ogura, yang akan membuat debut dalam kelas utama tahun ini. Ogura membawa harapan tinggi buat Trackhouse dengan rekod prestasi luar biasa dalam kariernya setakat ini. Pelumba Jepun ini dijangka menjadi salah satu nama besar yang bakal mencuri perhatian pada musim 2025.



