UCI lulus status Pro-Series Le Tour de Langkawi untuk 3 tahun lagi, MSN terima penarafan terbaik selaku penganjur

KUALA LUMPUR, 7 Oktober – Naib Presiden Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), Datuk Amarjit Singh Gill, telah mengumumkan bahawa UCI telah meluluskan status penganjuran Pro Series Le Tour de Langkawi (LTdL) untuk tempoh tiga tahun lagi bermula 2026 hingga 2028. Datuk Amarjit menyifatkan keputusan tersebut sebagai satu kejayaan besar buat Malaysia, yang terus diiktiraf sebagai antara penganjur terbaik dalam kalendar lumba basikal dunia.

“Ini satu kejayaan besar untuk Malaysia. Ia bukti nyata bahawa UCI mempunyai keyakinan penuh terhadap keupayaan negara kita dalam menganjurkan Le Tour de Langkawi secara cekap, profesional dan tanpa sebarang isu,” ujar Datuk Amarjit Singh Gill, Presiden PKBM dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) hari ini.

Beliau turut mendedahkan bahawa beliau telah berbincang secara langsung dengan Presiden UCI, David Lappartient, mengenai kepentingan Le Tour de Langkawi sebagai salah satu perlumbaan utama di benua Asia dan keperluan untuk memastikan kesinambungan penganjurannya sebagai status ProSeries.

“Saya tekankan kepada Presiden UCI bahawa LTdL bukan sekadar perlumbaan biasa — ia adalah simbol pembangunan dan kemajuan sukan berbasikal di Asia. Saya gembira kerana beliau bersetuju sepenuhnya dan memberi sokongan padu agar perlumbaan ini terus dimasukkan dalam kalendar Pro Series UCI untuk tiga tahun akan datang,” jelas Amarjit

Amarjit yang juga Presiden, Konfederasi Berbasikal Asia memaklumkan keputusan ini kini telah diterbitkan secara rasmi dalam kalendar UCI, menandakan kesinambungan perlumbaan berprestij ini sehingga 2028. Kelulusan UCI tersebut pasti memberi perkhabaran gembira kepada semua pihak di negara ini khususnya Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Bagaimanapun, belum dapat dipastikan siapakah yang akan bertanggungjawab untuk menjadi penganjur Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL 2026).

“Sejurus selepas tamat Le Tour de Langkawi 2025, ramai wartawan menyerbu dan bertanya kepada saya adakah UCI akan sambung hak penganjuran Le Tour de Langkawi kepada Malaysia. Pada ketika itu, saya enggan beri apa apa ulasan kerana hendak memastikan Keputusan di tangan kita sebelum beri apa apa ulasan.

“Dan dengan keputusan UCI yang saya terima lewat malam semalam, saya sifatkan keputusan UCI ini sebagai satu kejayaan besar. Ia juga bukti UCI sangat percaya kepada Malaysia sebagai penganjur Le Tour de Langkawi yang sangat efisien dan tidak menimbulkan sebarang masalah,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan PKBM hari ini

LTdL 2025 yang berakhir pada 5 Oktober lalu dianggap antara perlumbaan berbasikal lebuh raya terbaik yang pernah dianjurkan Malaysia kerana keseluruhan aspek teknikal dan perlumbaan mendapat penilaian cemerlang dengan penarafan “all green” oleh presiden dan barisan komisar serta pengarah perlumbaan.

Perkembangan berkenaan sekali gus membuktikan tiada kelemahan ketara dikesan sepanjang kejohanan berlangsung dan LTdL kekal sebagai perlumbaan yang berprestij di peringkat antarabangsa. Bagaimanapun, timbul tanda tanya berkenaan status penganjuran perlumbaan tersebut kerana belum lagi menerima sebarang isyarat daripada UCI.

Pengarah MSN, Jefri Ngadirin dilaporkan berkata segala keputusan berkaitan hak penganjuran itu akan diputuskan Kabinet selepas pihaknya membentangkan laporan penuh perlumbaan tersebut. MSN menjadi penganjur LTdL selama tiga tahun daripada 2023 hingga 2025.

LTdL ialah cetusan idea mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Ia kali pertama diadakan di Pulau Langkawi pada 1996.Perlumbaan berprestij di Asia itu mendapat pengiktirafan kategori 2.HC daripada UCI dan adalah sebahagian daripada Jelajah Asia UCI.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related