Penutup tirai Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 menyaksikan pelumba Perancis, Joris Delbove, dinobatkan sebagai juara keseluruhan edisi ke-29 yang melabuhkan tirainya pada Ahad.
Meskipun sekadar menamatkan saingan di tangga ke-17 pada peringkat terakhir dari Tangkak ke Kuala Lumpur, Delbove tetap mempertahankan penguasaan jersi hijau miliknya selepas mengumpul masa keseluruhan 27 jam 17 minit 38 saat sepanjang lapan peringkat perlumbaan.
Penamat yang berlangsung di Menara Berkembar Petronas (KLCC) menjadi saksi kejayaan gemilang pelumba berusia 25 tahun itu, yang mengungguli kedudukan keseluruhan dengan kelebihan tiga saat mengatasi pencabar terdekat, Ander Halland Johannessen (Uno-X Mobility). Sementara itu, pelumba Tudor Pro Cycling Team, Yannis Voisard, melengkapkan podium di tempat ketiga dengan perbezaan tujuh saat.
“Saya akan menghargai kenangan indah yang dicipta di Malaysia dan di LTdL. Ia benar-benar pengalaman luar biasa, keindahan dan pemandangan di sini menakjubkan, dan pada masa sama, perlumbaan berlangsung sangat sengit.
“Kemenangan ini amat bermakna buat saya, dan saya sangat gembira,” katanya sejurus selepas perlumbaan.
Dalam kategori pasukan, Team Polti VisitMalta dinobatkan sebagai pasukan terbaik keseluruhan dengan catatan masa 81 jam 53 minit 46 saat, diikuti Unibet Tietema Rockets (81:54:39s) dan Burgos Burpellet BH (81:55:28s) di tempat ketiga.
Bagi kategori pasukan Asia, Nusantara BYC muncul juara selepas menamatkan saingan dengan masa 82 jam 29 minit 24 saat, menewaskan Aisan Racing Team (82:29:33s) dan Thailand Continental Cycling Team (82:31:03s).
Sementara itu, pelumba negara Tsen Ren Bao dari pasukan St. George dinobatkan sebagai pelumba terbaik Malaysia bagi edisi kali ini selepas menamatkan saingan di tangga ke-34 keseluruhan, satu pencapaian membanggakan buat wakil tuan rumah.
Baca juga: