25,000 pelari turun ke Kuala Lumpur, Malaysia Marathon 2026 angkat pelancongan sukan

KUALA LUMPUR, 21 Ogos 2026 – Kuala Lumpur bakal menjadi tumpuan komuniti larian tempatan dan antarabangsa menerusi Malaysia Marathon 2026, acara berskala besar yang dilancarkan secara rasmi hari ini bersempena sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026-2027 dan Hari Kebangsaan Malaysia ke-69.

Majlis pelancaran yang berlangsung di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur itu disempurnakan oleh Y.Brs Tuan Ismadi bin Sakirin, Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosio Ekonomi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Diterajui sepenuhnya oleh penganjur tempatan, Malaysia Marathon 2026 bukan sekadar menawarkan cabaran larian, sebaliknya membawa aspirasi lebih besar untuk memupuk gaya hidup sihat, memperkukuh perpaduan masyarakat dan mengangkat Malaysia sebagai destinasi pelancongan sukan bertaraf antarabangsa.

25,000 pelari, 36 negara

Sebanyak 25,000 pelari tempatan dan antarabangsa dijangka mengambil bahagian dalam empat kategori utama iaitu 42KM, 21KM, 10KM dan 5KM.

Acara selama dua hari itu turut dijangka menarik kira-kira 50,000 pengunjung, selain disokong oleh 1,200 sukarelawan bagi memastikan kelancaran operasi serta keselamatan peserta.

Lebih menarik, penyertaan antarabangsa datang dari 36 negara, termasuk Australia, China, Jepun, Korea Selatan, India, Indonesia, Singapura, Thailand, United Kingdom, Amerika Syarikat, Kenya, Perancis, Jerman dan Kanada.

Angka tersebut memberi gambaran bahawa Malaysia Marathon mempunyai potensi besar untuk berkembang sebagai salah satu acara pelancongan sukan penting negara.

Kuala Lumpur bukan sekadar latar perlumbaan

Pemilihan Kuala Lumpur sebagai lokasi Malaysia Marathon 2026 juga bukan secara kebetulan.
Laluan perlumbaan akan bermula di Pavilion Kuala Lumpur sebelum berakhir di KLCC, dengan kira-kira 95 peratus laluan menggunakan lebuh raya utama, termasuk AKLEH dan SUKE.

Pendekatan ini bukan sahaja menawarkan pengalaman larian yang lebih moden dan terkawal, malah memberi peluang kepada peserta luar negara untuk melihat sendiri wajah Kuala Lumpur dengan latar bangunan ikonik, infrastruktur moden serta tarikan bandar raya.

Elemen sejarah, budaya, gaya hidup dan pelancongan turut disepadukan sepanjang acara, menjadikan Kuala Lumpur sebahagian daripada pengalaman Malaysia Marathon dan bukannya sekadar lokasi perlumbaan.

Lebih daripada sekadar berlari

Presiden Malaysia Marathon, Eddy Casmady, berkata acara berkenaan dirangka untuk menyatukan pelbagai lapisan masyarakat menerusi sukan.

“Malaysia Marathon bukan sekadar sebuah perlumbaan. Kami mahu acara ini menawarkan pengalaman larian yang berkualiti, memperkukuh hubungan komuniti serta memberi impak positif kepada sektor pelancongan sukan negara.”

Selain cabaran fizikal, peserta dan pengunjung bakal disajikan dengan lapan persembahan di sepanjang laluan, lima pancaragam serta sebuah konsert yang bermula seawal jam 9 pagi.
Bagi kategori Fun Run pula, pelajar yang mengambil bahagian akan menerima PAJSK, sekali gus menjadikan acara ini sebagai platform menggalakkan generasi muda untuk lebih aktif dalam aktiviti fizikal, sukan dan kokurikulum.

Teknologi, rekod dan elemen kelestarian

Malaysia Marathon 2026 turut mengetengahkan beberapa elemen inovasi, termasuk penggunaan sistem pengesahan identiti berasaskan pengecaman wajah ketika proses pendaftaran dan pengambilan pek perlumbaan.

Peserta juga diwajibkan mengambil sendiri nombor bib masing-masing bagi mengurangkan risiko penipuan penyertaan serta meningkatkan integriti acara.

Dalam masa sama, atlet tempatan mempunyai motivasi tambahan apabila ganjaran RM50,000 ditawarkan kepada peserta Malaysia yang berjaya memecahkan rekod kebangsaan bagi kategori 42KM dan 21KM.
Aspek kelestarian pula diberi perhatian menerusi penggunaan bahan zink kitar semula dalam penghasilan medal acara.

Bila robot humanoid turun berlari

Antara tarikan paling unik Malaysia Marathon 2026 ialah penyertaan robot humanoid HONOR.
Sebuah robot akan mengambil bahagian dalam kategori 10KM dan pernah dinobatkan sebagai Juara Robot Humanoid Separuh Maraton Pemegang Rekod Dunia, manakala sebuah lagi menyertai kategori 5KM dan pernah menerima gelaran Robot Humanoid dengan Gaya Larian Terbaik.

Penyertaan tersebut membawa dimensi baharu kepada acara ini apabila teknologi dan sukan diketengahkan dalam satu pentas yang sama.

Bella Astillah sebagai duta

Bagi memperluaskan kempen gaya hidup aktif kepada masyarakat umum, personaliti Bella Astillah turut dilantik sebagai Duta Malaysia Marathon 2026.

Penglibatan Bella diharap dapat menarik lebih ramai masyarakat, khususnya golongan muda, untuk menjadikan aktiviti larian dan kecergasan sebagai sebahagian daripada rutin kehidupan.

Malaysia Marathon 2026 turut mendapat sokongan Tourism Malaysia serta rakan-rakan strategik dan penaja seperti JETOUR, Hot FM, ZEEKR, PROTON, HONOR dan Dutch Lady.

Peserta juga berpeluang memenangi sebuah PROTON Saga menerusi cabutan bertuah yang akan diadakan sempena acara tersebut.

Dengan menggabungkan sukan, hiburan, teknologi, kelestarian, pelancongan dan semangat patriotisme, Malaysia Marathon 2026 berpotensi menjadi lebih daripada sebuah acara larian.

Ia boleh menjadi satu lagi platform yang memperlihatkan bagaimana sukan mampu menjadi produk pelancongan, medium komuniti dan pemangkin ekonomi – dengan Kuala Lumpur sebagai pentas utamanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related