Aprilia cipta sensasi awal musim 2026

Aprilia Racing mencuri tumpuan pada awal musim MotoGP 2026 apabila mempamerkan kebangkitan luar biasa bersama gandingan Marco Bezzecchi dan Jorge Martin. Selepas hanya tiga pusingan, kedua-dua pelumba itu kini menduduki tangga pertama dan kedua kejuaraan dunia, sekali gus menandakan perubahan besar buat pengeluar Itali tersebut.

Ketika Bezzecchi menyertai jentera RS-GP musim lalu bersama Martin dalam barisan baharu pasukan, tidak ramai menjangkakan Aprilia mampu tampil begitu dominan hanya dalam tempoh 12 bulan. Namun, realitinya kini mereka berada dalam prestasi terbaik dengan rekod lima kemenangan Grand Prix berturut-turut.

Dominasi Awal Musim

Aprilia telah mengumpul 158 mata selepas tiga pusingan pertama musim 2026, hanya tiga mata kurang berbanding jumlah yang diraih Ducati Lenovo Team pada tahap sama musim 2025. Ia juga merupakan pencapaian kedua tertinggi sejak format Sprint diperkenalkan pada 2023.

Bezzecchi terus membuktikan reputasinya apabila bukan sahaja memenangi lima Grand Prix terakhir, malah mendahului setiap pusingan dalam tempoh tersebut satu pencapaian luar biasa yang menonjolkan tahap konsistensinya musim ini.

Di Grand Prix Americas (COTA), Martin menamatkan perlumbaan di tempat kedua, sekali gus menghadiahkan 1-2 buat Aprilia. Ia merupakan podium berturut-turut pertama buat pelumba Sepanyol itu sejak musim 2024 di Sepang dan Barcelona. Keputusan tersebut juga menambah jumlah keseluruhan podium MotoGP Aprilia kepada 39, dengan 34 daripadanya hadir sejak 2021.

Rekod Terus Diperbaharui

Kemenangan Bezzecchi di COTA turut menjadi kemenangan ke-11 Aprilia dalam MotoGP, meletakkan mereka di tangga kelapan dalam senarai pengeluar dengan kemenangan terbanyak sepanjang sejarah Grand Prix. Seterusnya, sasaran mereka adalah untuk mengejar rekod 21 kemenangan milik Norton.

Aprilia juga menjadi pengeluar ketujuh dalam sejarah MotoGP yang berjaya mencatat lima kemenangan berturut-turut, menyertai senarai elit seperti Honda, Ducati, MV Agusta, Suzuki, Gilera dan Yamaha kesemuanya pernah mencatat sekurang-kurangnya enam kemenangan berturut-turut.

Baca juga Aprilia di zon bahaya

Selain itu, lima Grand Prix terakhir menyaksikan Aprilia sentiasa menamatkan perlumbaan di kedudukan teratas, manakala lima perlumbaan berturut-turut juga menyaksikan sekurang-kurangnya satu jentera Aprilia bermula di barisan hadapan.

Bukan hanya kemenangan, pelumba Aprilia turut menguasai catatan masa terpantas. Empat perlumbaan terakhir menyaksikan pelumba Aprilia mencatatkan fastest lap, bermula dengan Raul Fernandez di Valencia musim lalu, diikuti Bezzecchi pada dua pusingan pembukaan 2026 serta Ai Ogura yang mencipta sejarah sebagai pelumba Jepun pertama mencatat fastest lap MotoGP dengan jentera bukan Jepun sejak Makoto Tamada pada 2004.

Podium berturut-turut Martin juga bermakna hampir semua pelumba Aprilia kecuali Ogura yang merupakan rookie pada 2025 pernah meraih podium Grand Prix berturut-turut, sekali gus menunjukkan kekuatan keseluruhan barisan pelumba pasukan itu.

Keputusan 1-2 di COTA merupakan kali keempat Aprilia melakukannya dalam sejarah Grand Prix selepas Catalunya 2023, Valencia 2025 dan Grand Prix Brazil 2026. Lebih menarik, mereka juga mengekalkan kedudukan 1-2 dalam carta kejuaraan dunia sejak perlumbaan di Brazil.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related