Pole ketujuh buat Marc Marquez

Sudah menjadi sinonim Aragon dan Marc Marquez, dua nama yang sering digandingkan apabila memetik mengenai dominasi di litar. Kehebatan lagenda MotoGP itu sekali lagi terbukti apabila beliau bukan sahaja memperbaharui rekod catatan masa dalam sesi kelayakan, tetapi turut menepati ramalan dengan aksi mengagumkan yang menghadiahkan kemenangan perlumbaan Sprint untuk Ducati.

Bermula dengan meraih petak utama buat kali ketujuh di Aragon, Marc mencatat masa luar biasa 1:45.704, sekaligus mengukuhkan kedudukannya di barisan hadapan. Lebih manis, catatan itu membolehkannya mengetepikan cabaran terdekat adiknya sendiri, Alex Marquez (BK8 Gresini Racing MotoGP) dengan kelebihan 0.260 saat dan pelumba rookie, Fermin Aldegur dalam saingan penuh aksi hari ini.

Walaupun bermula dari petak utama, perlumbaan kali ini bukanlah perlumbaan yang mudah buatnya apabila terlibat dengan beberapa insiden yang tidak diingini seawal perlumbaan.

Marc mengalami permulaan yang kurang baik dan tergelincir ke kedudukan keempat selepas bersentuhan dengan Pedro Acosta di selekoh pertama. Namun, juara dunia lapan kali itu segera memulihkan kedudukan dengan memotong Acosta dan Franco Morbidelli, sebelum menewaskan Álex di pusingan keenam untuk merampas kedudukan pendahulu.

Marc menamatkan perlumbaan dengan kelebihan lebih dua saat di hadapan Álex, manakala Aldeguer melengkapkan podium dengan menewaskan Morbidelli di selekoh terakhir. Kemenangan ini merupakan kemenangan Sprint ketujuh Marc musim ini dan mengukuhkan kedudukannya sebagai pendahulu kejuaraan dunia.

Sementara itu, Francesco Bagnaia menghadapi hari yang mengecewakan apabila hanya mampu menamatkan perlumbaan di tempat ke-12, jauh daripada kedudukan podium.

Dengan prestasi cemerlang ini, Marc Márquez semakin kukuh sebagai calon utama untuk merangkul gelaran dunia MotoGP 2025.

Sorotan

Aksi kelayakan 1

Sesi kelayakan pertama menyaksikan ketegangan di atas litar yang amat tinggi, terutamanya dengan tumpuan penuh yang diberikan kepada juara GP British baru-baru ini, Marco Bezzecchi (Aprilia Racing). Malangnya, pelumba Itali itu bermula dengan langkah kiri apabila terjatuh di selekoh kedua pada pusingan pertama.

Masalah tidak terhenti disitu, apabila satu lagi masalah terus membelenggu pelumba Aprilia itu dengan keadaan jentera keduanya yang juga tidak memberi prestasi seperti diharapkan sekaligus menempatkan dia di tempat ke-10 keseluruhan.

Sebaliknya, Fabio Quartararo (Monster Energy Yamaha MotoGP) menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila mendahului carta dengan 1:47.078s. Namun, selepas beberapa pusingan, Fabio Di Giannantonio (Pertamina Enduro VR46) merampas kedudukan teratas dengan kelebihan 0.021 saat. Raul Fernandez (Trackhouse MotoGP) kembali mencuri perhatian dengan naik ke Petak 2 sebelum dipintas dan ditendang semula ke Petak 3.

Aksi kelayakan 2

Tiada siapa mampu menyekat dominasi Marc Marquez dalam sesi kelayakan di Aragon kali ini. Pelumba #93 dari pasukan Ducati Lenovo membuka Q2 dengan catatan masa sensasi 1:45.986, meninggalkan pesaing utama dalam setiap perlumbaan iaitu adiknya sendiri, Alex Marquez (BK8 Gresini Racing MotoGP) sejauh 0.437 saat, sebelum Alex memperbaiki catatannya untuk merapatkan jurang kepada 0.221 saat.

Dua jentera Red Bull KTM Factory Racing, yang dikemudi Pedro Acosta dan Brad Binder, menghuni tempat ketiga dan keempat buat sementara, manakala Francesco Bagnaia bergelut di awal sesi dan hanya berada di kedudukan ke-11. Namun, dengan tayar baharu, juara dunia dua kali itu kembali bangkit untuk merampas P4 dan memisahkan dua jentera KTM tersebut.

Drama tercetus apabila Alex Marquez mencuri tumpuan dengan catatan masa baharu, 0.020 saat lebih pantas daripada abangnya. Tidak lama kemudian, Franco Morbidelli turut mencatat masa lebih pantas berbanding Marc, sekaligus merampas kedudukan kedua. Namun, Marc Marquez sekali lagi membuktikan mengapa Aragon digelar ‘rumah’ baginya meskipun berdepan sedikit kesukaran di sektor akhir, beliau berjaya menutup sesi dengan rekod baharu litar dan kedudukan petak utama ketujuhnya di Aragon.

Morbidelli dan Viñales gagal memperbaiki masa dalam cubaan terakhir, mengesahkan kelebihan Marc di hadapan.

Baca juga:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related