Pelumba muda sensasi, Pedro Acosta, menegaskan bahawa KTM berada dalam keadaan yang stabil walaupun syarikat itu sedang berdepan dengan krisis kewangan serta ketidaktentuan masa depan projek MotoGP mereka.
Ketika ujian pra-musim di Litar Antarabangsa Sepang, Acosta mencatat masa terbaik 1:57.175saat pada hari terakhir, sekali gus meletakkannya di kedudukan keenam secara keseluruhan.
Walaupun KTM masih dalam fasa memilih komponen terbaik bagi pakej 2025 mereka, Acosta percaya bahawa situasi dalam pasukan adalah baik berdasarkan jumlah perkembangan dan ujian yang telah mereka lakukan.
“Buat masa ini, saya rasa kita sudah bersedia dalam kira-kira 60 peratus daripada pakej perlumbaan sebenar.Saya gembira dengan ujian yang telah dijalankan, namun kami perlu menapis dan menentukan kombinasi terbaik untuk digunakan dalam perlumbaan.
Walaupun KTM kini sedang beroperasi di bawah pentadbiran sendiri akibat krisis kewangan, Acosta menekankan bahawa jumlah komponen baharu yang diuji dalam sesi ini membuktikan bahawa pasukan masih bekerja keras untuk musim 2025.
“Anda semua (media) telah mencetuskan spekulasi mengenai keadaan KTM, tetapi sekarang anda boleh lihat sendiri bahawa semuanya berada dalam keadaan baik. Oleh itu, kami perlu kekal tenang dan terus bekerja,” tambahnya.
KTM Masih Dalam Proses Penambahbaikan
Pelumba berusia 20 tahun itu turut mendedahkan bahawa pasukan KTM mengalami kesukaran pada hari kedua ujian di Sepang, namun berjaya bangkit pada hari terakhir.
“Kami mengalami beberapa masalah pada pagi hari kedua, dan sesi petang juga agak sukar untuk mendapatkan keputusan yang jelas. Namun, kami berjaya menyelamatkan ujian ini dengan prestasi yang lebih baik pada hari terakhir. Musim ini kami cepat dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi dan itu satu petanda positif,” katanya.
Pelumba Sepanyol itu juga menjelaskan bahawa KTM masih dalam proses menyesuaikan motosikal mereka agar lebih stabil berbanding musim lalu.

“Kami mahu mencipta jentera yang lebih tenang untuk dikendalikan. Namun, buat masa ini, saya rasa cukup baik dari segi kelajuan dan serangan masa,” ujarnya
“Kami masih ada beberapa bahagian yang belum dicuba dan ada perkara menarik yang menanti di Buriram. Jadi, kami akan terus bekerja keras untuk memastikan motosikal ini bersedia sepenuhnya sebelum musim bermula,” katanya.
Walaupun mengalami sedikit isu dengan tayar semasa simulasi perlumbaan pecut, Acosta tetap optimis dengan persiapan mereka.
“Saya mengalami sedikit masalah dengan tayar semasa simulasi. Dari awal keluar dari pit, saya tidak mendapat cengkaman yang mencukupi. Namun, selepas menukar tayar lain, segalanya kembali normal dan saya lebih pantas. Itu agak pelik, tetapi kami tetap gembira kerana berjaya mengurangkan jurang berbanding tahun lalu,” jelasnya.
Sebelum ini, Sepanjang musim sejuk, KTM telah memasuki fasa pentadbiran kendiri berikutan krisis kewangan yang serius dalam syarikat. Pasukan ini bakal menghadapi undian penting daripada pemiutang dalam beberapa minggu akan datang berkenaan pelan penstrukturan semula mereka.
Walaupun situasi ini mencetuskan kebimbangan terhadap projek MotoGP KTM, pihak pengurusan jenama itu tetap menegaskan bahawa segala perancangan untuk 2025 akan diteruskan seperti biasa.
Dengan ujian seterusnya dijadualkan di Buriram, Acosta dan pasukan KTM kini bersedia untuk menguji lebih banyak komponen di Thailand dalam usaha memastikan mereka berada di tahap terbaik menjelang perlumbaan pembukaan musim ini.


