Kejohanan Minimoto Kebangsaan 2025 bakal bermula April ini

Kejohanan Kebangsaan Minimoto 2025 secara rasmi bakal berlangsung bermula 26 April ini di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS (PSIC) yang juga merupakan litar sama bagi kejohanan FIM MiniGP Malaysia 2025.

Kejohanan ini merupakan anjuran Kelab Sukan Bermotor ZK bagi menyediakan platform baru untuk mencungkil bakat muda dalam sukan permotoran dari akar umbi.

Menurut Pengarah Kejohanan FIM MiniGP Malaysia & Minimoto National Championship, Zulfahmi Khairuddin kejohanan ini merupakan usaha yang diwujudkan untuk memberi peluang kepada anak-anak muda yang ingin berkecimpung dalam bidang permotoran.

“Kejohanan Kebangsaan Minimoto diwujudkan untuk memberi peluang kepada kanak-kanak berusia 6 hingga 9 tahun menceburi dunia permotoran. Seperti yang kita tahu, FIM MiniGP Malaysia telah berkolaborasi dengan M8 Pushbike, dan kejohanan Minimoto ini adalah kesinambungan daripada pushbike ke sukan bermotor.

“Dahulu, perlumbaan pocketbike sangat meriah dengan pelbagai penganjuran dari kelab-kelab berlainan, namun ia semakin berkurang tahun demi tahun. Melalui inisiatif ini, Kelab Sukan Bermotor ZK berusaha mengembalikan kegemilangan perlumbaan pocketbike dan membina asas lebih kukuh untuk pelumba muda.

Dalam pada itu, turut dimaklumkan perlumbaan ini bakal menggunakan format “One Make Series”, di mana semua pelumba akan menggunakan jentera lumba Polini 910 Carena RS Air Cooled 4.2hp yang disediakan oleh pihak penganjur. Enjin akan dikawal sepenuhnya bagi mengelakkan sebarang modifikasi, memastikan persaingan yang adil dan setara di antara semua peserta.

Perlumbaan ini terbuka kepada kanak-kanak berumur 6 hingga 9 tahun (kelahiran 2019 hingga 2016) dengan hanya satu kategori dan slot terhad kepada 18 pelumba sahaja. Tiga pelumba terbaik berdasarkan pungutan mata keseluruhan akan menerima tajaan ke SIC Ohvale Junior Championship 2026, membuka lebih banyak peluang untuk mereka melangkah ke peringkat seterusnya dalam sukan bermotor.

Setiap pelumba diwajibkan untuk membeli peralatan perlumbaan yang terdiri daripada Racing Suit, Sarung Tangan, Kasut, dan Helmet melalui Kelab Sukan Bermotor ZK. Ini bagi memastikan pematuhan penuh terhadap piawaian keselamatan, sejajar dengan penggunaan litar Go-Kart penuh seperti dalam FIM MiniGP Malaysia.

Bagi yuran penyertaan pula, masih belum ditetapkan dan akan diumumkan semasa Sesi Pemilihan yang dijadualkan berlangsung pada 12 April 2025.

Setakat ini, pendaftaran dalam talian masih belum dibuka dan dijangka akan dibuka secara rasmi sebelum Hari Raya Aidilfitri. Maklumat lengkap mengenai yuran serta keperluan lain turut dilaporkan akan diberikan kepada para pelumba semasa proses pendaftaran.

Untuk maklumat lanjut mengenai pendaftaran dan perkembangan terkini boleh didapati di laman rasmi Kelab Sukan Bermotor ZK atau FIM MiniGP Malaysia.


Baca juga :

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related